Khamis

Mengapa terbit sendiri buku?


Ramai penulis memilih menerbit sendiri buku kerana tiada penerbit komersial yang berminat menerbit buku mereka. Antara faktor mengapa penerbit tidak tertarik menerbit buku penulis ialah kerana pasarannya yang kecil. Penerbit lebih berminat menerbit buku yang mampu menarik ramai pembeli. Dengan cara ini secara automatik jualan buku berlipat kali ganda dan untung yang diperolehi juga tinggi.
Sebagai contoh, penerbit lebih suka menerbit buku motivasi kerana pasarannya lebih luas berbanding menerbit buku mengenai koleksi batu-batu unik yang terhad pasarannya.
Ada juga penulis yang memilih bagi menerbit sendiri buku kerana mereka mendapat lebih kuasa dalam menentukan kualiti dan rupa buku yang diterbitkan. Jika menerbit dengan penerbit, kuasa menentukan rekabentuk halaman dan kulit buku, usaha promosi, harga dan lain-lain semuanya ditentukan oleh penerbit. Tetapi apabila anda menerbit sendiri, anda yang tentukan.
Penerbit komersial juga berhak memotong teks, mengubah struktur bab, menyunting bahasa dan ejaan dan banyak lagi. Ramai penulis hampa kerana manuskrip yang mereka hantar, akhirnya apabila terbit banyak berubah daripada manuskrip asal.
Jika buku yang hendak diterbit mengenai isu semasa, penulis mungkin memilih menerbit sendiri kerana dengan cara ini buku itu dapat berada di pasaran lebih cepat. Kemungkinan besar dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Penerbit komersial pula mungkin mengambil masa sehingga 2 tahun bagi menerbit buku itu. Jika lambat terbit, ia akan menjejaskan jualan buku kerana isu yang diperkatakan sudah tidak relevan dan ketinggalan.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan