Khamis

Apa itu terbit sendiri?


Ramai penulis yang pernah menerbit buku dengan penerbit, selepas tempoh tertentu berhasrat menerbit sendiri bukunya. Mereka menyangka jika mereka terbit sendiri, tentulah imbuhan wang yang bakal diperolehi lebih banyak.
Tidak kurang juga individu yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan awal-awal lagi sudah menanam cita-cita ingin menerbit sendiri buku mereka. Hasrat itu timbul mungkin apabila mereka mendengar mengenai kelebihan terbit sendiri yang diceritakan oleh sesetengah pihak.
Namun apabila tiba masa hendak menerbitkan buku yang sudah siap ditulis, mereka tertanya-tanya dengan diri sendiri bagaimana hendak lakukannya? Ada juga yang masih tidak tahu dan jelas dengan maksud terbit sendiri.
Terbit sendiri bermaksud proses menukar bahan bertulis yang anda miliki ke dalam bentuk buku bercetak ataupun e-book. Bahan bertulis itu sama ada anda sendiri yang tulis ataupun anda mengupah orang lain menulis bagi pihak anda. Kemudian anda memasar, menjual dan mengedar sendiri buku yang diterbitkan kepada kedai buku, pengedar dan pengguna akhir iaitu pembaca. Dengan kata lain anda memiliki kuasa penuh dalam proses penerbitan buku anda. Anda yang membuat keputusan dan anda jugalah yang memikul risikonya.
Terbit sendiri berbeza dengan terbit secara tradisional melalui penerbit buku. Anda menulis dan menyiapkan manuskrip kemudian menghantar manuskrip itu kepada penerbit bagi dinilai. Apabila penerbit setuju menerbit manuskrip anda, proses seterusnya diuruskan oleh penerbit. Ini termasuklah membuat rekabentuk kulit dan halaman, mencetak, memasar, menjual dan mengedar. Anda hanya menunggu bayaran royalti daripada penerbit selepas tempoh tertentu. Dengan kata lain, segala urusan penerbitan dikawal sepenuhnya oleh penerbit. Anda tidak boleh campur tangan dalam proses penerbitan kecuali dibenarkan oleh penerbit.
Sekilas pandang maksud terbit sendiri di atas, ada penulis tertanya-tanya, adakah mereka perlu buat semua proses di atas. Bagaimana jika mereka tidak pandai membuat rekabentuk halaman. Bagaimana jika mereka tidak tahu menjual? Seperti yang disebut di atas, terbit sendiri bermaksud anda mengawal sepenuhnya proses terbit buku anda. 
Jika anda tidak tahu buat sendiri rekabentuk halaman, anda boleh upah artis grafik sambilan ataupun sepenuh masa. Begitu juga urusan mencetak, anda sendiri mencari dan memilih pencetak yang sesuai. Bagi urusan menjual dan mengedar, anda boleh melantik pengedar buku bagi mengedar dan menjual buku anda.
Bagi memudahkan lagi anda memahami terbit sendiri, hakikatnya apabila anda terbit sendiri, bermakna anda memain-kan peranan sebagai penerbit buku. Bezanya ialah, anda menerbit buku anda sendiri. Tetapi penerbit buku kebanyakannya menerbit buku orang lain.
Secara teknikalnya, jika anda menerbit sendiri buku, nama penerbit yang terletak pada halaman hak cipta mestilah nama penerbit yang dicipta oleh anda sendiri. Nombor ISBN buku anda pula didaftarkan atas nama penerbit yang anda cipta itu.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan