Khamis

Cabaran terbit sendiri


1. Perlu Keluarkan Sendiri Belanja Menerbit
Jika anda membuat keputusan menerbit sendiri buku anda, sudah tentu segala belanja menerbit menjadi tanggungjawab anda. Ini termasuklah belanja membuat suntingan, rekabentuk kulit dan halaman, mencetak, mengedar, mempromosi dan lain-lain lagi. Anda mungkin perlu mengeluarkan belanja ribuan ringgit. Bahkan mungkin mencecah belasan ribu ringgit. Itu semua bergantung pada kaedah dan cara yang anda gunakan.

2. Komitmen Masa dan Tenaga
Sebagai penulis, anda tidak dapat lari daripada memberikan komitmen masa dan tenaga bagi menulis buku anda. Jika anda menerbit buku anda itu dengan penerbit, komitmen masa anda mungkin setakat itu sahaja. Urusan lain semuanya diserahkan bulat-bulat kepada penerbit.
Namun begitu, apabila anda menerbit sendiri, anda perlu memperuntukkan masa bagi menyunting, membuat rekabentuk halaman dan kulit, mencetak, mempromosi, menjual dan mengedar buku anda. Jika anda tidak bersedia memberi komitmen masa bagi mempromosi dan menjual buku anda, tiada siapa akan tahu mengenai buku anda. Dan sudah pasti jualan buku anda kecil.
Semakin banyak masa yang anda peruntukkan dalam mempromosi dan menjual, peluang buku anda dikenali dan dijual dalam kuantiti besar adalah lebih tinggi.

3. Sukar Masuk Kedai Buku
Buku yang anda terbit sendiri mungkin sukar bagi dijual melalui kedai buku. Ini kerana kedai buku lebih suka berurusan terus dengan pengedar buku yang mengedar beratus-ratus judul dari pelbagai penerbit buku jika dibandingkan dengan penerbit sendiri yang hanya menerbit satu ataupun dua judul sahaja.
Ini bermakna anda harus fokus mempromosi buku yang diterbitkan mengguna saluran lain seperti melalui internet, kedai buku online, iklan di media cetak, seminar, ceramah, dan lain-lain.

4. Sukar Menjual dan Memasar Sendiri Buku
Memasar dan menjual buku tidak sama dengan menerbit buku. Dalam bisnes penerbitan buku, bahagian yang paling penting dan kritikal ialah memasar dan menjual.
Apabila anda menerbit sendiri, anda perlu mendalami ilmu bagaimana memasar dan menjual buku. Tidak kisah sama ada anda sendiri yang lakukannya ataupun anda lantik pihak lain seperti pengedar, pemborong, jurujual dan sebagainya. Yang penting anda perlu tahu mengenai tip dan teknik pemasaran yang sesuai dengan buku anda.
Perkara paling penting ialah kepada siapa anda hendak jual buku anda itu. Dengan kata lain siapa target pembeli buku anda. Apabila anda sudah ada target pembeli, barulah anda tahu strategi dan teknik bagaimana yang anda hendak gunakan.