Khamis

Senario terbit sendiri buku di luar negara


Menerbit sendiri buku bukan perkara baru di luar negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Banyak buku terlaris asalnya diterbit sendiri oleh penulisnya. Sebagai contoh, buku What Colour Is Your Parachutte? diterbitkan sendiri oleh Richard Nelson Bolles pada tahun 1970. Buku ini sudah terjual lebih 8 juta naskhah, dan purata 1,000 naskhah sehari terjual serata dunia dan diterjemah ke dalam sepuluh bahasa.
Jika anda pengurus, anda mungkin pernah mendengar ataupun membaca buku The One Minute Manager. Buku hasil tulisan Kenneth Blanchard dan Spencer Johnson ini juga salah satu contoh buku yang diterbit sendiri. Buku ini antara buku terawal kategori bisnes yang memperkenalkan teknik pengurusan praktikal dalam bentuk cerita.
Pada awalnya kedua-dua penulis menerbit sendiri buku ini bagi digunakan dalam seminar yang mereka anjurkan. Selepas mengambil kira pendapat dan cadangan daripada peserta seminar, buku itu disemak dan diperbaiki. Akhirnya mereka berjaya menjual sendiri sebanyak 20,000 naskhah sebelum diterbitkan oleh sebuah penerbit komersial dan akhirnya berjaya menjadi salah satu buku best-seller.
Satu lagi buku oleh Dr. Spencer Johnson yang beliau terbitkan sendiri ialah Who Moved My Cheese? Buku setebal 94 halaman yang hanya mengisahkan 4 ekor tikus ini berjaya menjadi karya best-seller kategori bukan fiskyen di Publishers Weekly selama 64 minggu. Saya yakin anda pernah mendengar judul buku ini kerana ianya pernah menduduki carta buku best-seller di kedai buku MPH tahun 2007.
Contoh buku-buku lain yang berjaya menjadi best-seller dan terjual berjuta-juta naskhah ialah 50 Simple Things You Can Do to Save the Earth terjual sebanyak 4.5 juta naskhah, How to Keep Your Wolkswagen Alive terjual sebanyak 2.2 juta naskhah, Leadership Secrets of Atilla the Hun, terjual melebihi setengah juta naskhah, dan Final Exit terjual melebihi setengah juta naskhah juga.
Penulis-penulis yang menghasilkan buku di atas menerbit sendiri dan memiliki kuasa sepenuhnya bagi memastikan buku mereka berjaya menjadi best-seller.
Boleh dikatakan banyak penulis di barat menerbit sendiri buku mereka. Apabila buku mereka menjadi best-seller, dengan pantas penerbit-penerbit terkenal menyambar penulis ini menawarkan kontrak penerbitan dengan syarikat penerbitan masing-masing.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!