Memaparkan catatan dengan label kisah terbit sendiri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kisah terbit sendiri. Papar semua catatan

Jumaat

Robert T. Kiyosaki Terbit Sendiri Buku Pertama Beliau


Pernahkah anda mendengar nama Robert T. Kiyosaki? Jika anda adalah ulat buku dan minat anda menjurus ke arah buku-buku berbentuk kewangan peribadi, anda pasti mengenali nama ini. Ya...beliau adalah seorang penulis yang banyak menulis buku-buku dalam bidang kewangan peribadi. Lebih tepat lagi buku dalam siri Rich Dad Poor Dad.
Robert T. Kiyosaki terbit sendiri buku
Robert T. Kiyosaki
Setakat artikel ini ditulis, beliau sudah menerbitkan 18 buah buku dan jumlah naskhah yang terjual (jualan terkumpul bagi 18 buah buku) ialah lebih 26 juta naskhah di seluruh dunia.
Tahukah anda bahawa buku pertama Robert T. Kiyosaki sebenarnya diterbitkan sendiri oleh beliau dengan cetakan pertama sebanyak 1,000 naskhah. Buku yang saya maksudkan itu ialah Rich Dad Poor Dad. Fakta ini saya baru perolehi melalui satu emel yang dihantar kepada saya oleh seorang pakar pemasaran buku, Steve Harrison di US. Sebaik saya terima emel ini, saya buat 'research' di internet dan memang benar.
Buku Rich Dad Poor Dad yang diterbit sendiri oleh
Buku pertama beliau yang diterbitkan sendiri ini berjaya menarik perhatian penerbit terkenal di US iaitu Warner Books. satu bahagian penerbitan di bawah Hachette Book Group USA. Selepas itu, buku beliau menjadi 'bestseller' di New York Times, The Wall Street Journal dan USA Today.
Buku-buku yang ditulis oleh Robert ini memang sesuai dibaca oleh anda yang suka hendak belajar bagaimana mengurus kewangan peribadi. Saya sendiri sudah membeli buku pertama beliau Rich Dad Poor Dad yang penuh dengan cerita bagaimana '2 ayah' beliau mengajarkan cara urus duit. Buku-buku beliau ini anda boleh beli di kebanyakan kedai buku di Malaysia seperti di MPH, Popular dan Kinokuniya.
Moral yang saya hendak sebut di sini ialah, terbit sendiri dahulu buku yang anda tulis. Selepas itu, pasarkan ia di pasaran terbuka. Selain itu, cuba promosi buku anda itu kepada penerbit-penerbit buku. Jika ada rezeki, penerbit terkenal mungkin ambil buku anda itu bagi diterbitkan semula di bawah jenama penerbit terkenal itu.
Inilah yang terjadi kepada salah seorang pembeli buku saya. Beliau berjaya menerbitkan sendiri buku beliau mengenai bisnes cacing selepas mengikut langkah demi langkah tip-tip di dalam buku itu. Selain menjualnya ke pasaran terbuka, beliau ada mengirimkan satu naskhah kepada penerbit di mana saya bekerja iaitu PTS Professional. Kebetulan pada masa itu, PTS Professional memang sedang mencari buku-buku bagaimana hendak buat bisnes yang mudah, cepat, dan bermodal kecil. Apa lagi, penerbit bersetuju menerbitkan buku itu. Buku-buku begini memang mendapat sambutan di pasaran terbuka terutamanya di zaman ekonomi sedang gawat. Masing-masing sibuk hendak buat pendapatan tambahan.
Jadi, bagaimana dengan anda? Apa lagi, jangan berlengah menerbitkan sendiri buku anda. Mana tahu, anda juga beruntung satu hari nanti penerbit besar menawarkan kontrak bagi menerbitkan buku anda itu dengan mereka.

Michael J. Losier terbit sendiri buku Law of Attraction


Hari ini 29 November 2008, saya menghadiri seminar Law of Attraction di Renaissance Hotel Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Seminar itu disampaikan oleh penceramah dan juga penulis buku Law of Attraction iaitu Michael J. Losier. Beliau berasal dari Kanada.
Buku Law of Attraction yang diterbit sendiri oleh Michael J. Losier
Apa yang Losier ajar sepanjang seminar itu? Beliau mengajarkan teknik bagaimana menarik apa yang anda kehendaki dan menghindarkan apa yang anda tidak kehendaki. Teknik yang diajarkan ini cukup berguna dalam hidup kita semua terutamanya dalam aspek perhubungan, kewangan, kesihatan, dan sebagainya.
Seminar ini dihadiri oleh lebih 150 orang peserta. Seminar ini berbayar. Oleh kerana penceramahnya adalah penceramah antarabangsa, yuran bagi menghadiri seminar ini agak mahal iaitu RM1,399. Bagi yang mendaftar melalui PTS iaitu syarikat penerbitan di mana saya bertugas, yurannya ialah RM899.
Bagaimana saya boleh menghadiri seminar semahal ini? Apa hebatnya Michael J. Losier? Sebenarnya syarikat di mana saya bekerja iaitu PTS Professional baru sahaja menerbitkan satu buku terjemahan berjudul Hukum Tarikan. Buku ini adalah terjemahan daripada karya asal iaitu Law of Attraction karya Losier.
Kebetulan, Losier datang ke Malaysia bagi mempromosikan buku beliau dan mengendalikan seminar pada hari ini. Jadi PTS sebagai penerbit buku terjemahan beliau dalam bahasa Melayu mengambil kesempatan mempromosikan buku beliau dalam edisi bahasa Melayu. Antara program promosi yang dibuat ialah sesi temubual di TV2 dalam rancangan Hello On 2. Losier juga turut mengadakan sesi 'author's signing' di kedai buku MPH Mid Valley.
Penganjur yang mengendalikan seminar ini bermurah hati memberikan 3 tiket percuma kepada PTS. Jadi, sebagai pengurus PTS Professional, saya diberi peluang menghadiri seminar itu.
Bagi anda yang berminat hendak membaca buku Law of Attraction, boleh membeli buku itu sama ada edisi bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu di kedai-kedai buku utama seperti MPH dan Popular. Buku Law of Attraction menjadi antara 10 buku best-seller sepanjang tahun 2008.
Apa yang saya hendak tarik perhatian anda ialah, semasa seminar itu berlangsung, Losier mendedahkan sesuatu yang saya tidak tahu sebelum ini. Beliau mendedahkan bahawa, buku beliau itu iaitu Law of Attraction pada awalnya beliau terbit sendiri. Beliau juga menjual sendiri buku itu melalui Amazon.com dan pelbagai cara lagi. Beliau sendiri memproses dan menghantar setiap pesanan buku yang diperolehi.
Buku edisi bahasa Inggeris yang anda lihat berada di pasaran sekarang ialah buku yang diterbitkan semula oleh penerbit Wellness Central. Ianya diterbitkan semula tanpa sebarang perubahan. Ianya tetap sama sebagaimana edisi asal yang diterbit sendiri oleh Losier.
Dengan hanya satu buku ini yang diterbitkan sendiri pada awalnya, beliau kini menjadi terkenal dan dianggap sebagai pakar dalam subjek Law of Attraction atau Hukum Tarikan.

Guru Terbit Sendiri Buku Catatan Pengalaman Mengajar di Pedalaman


Minggu lepas, saya berjaya menguruskan penerbitan buku seorang guru yang mengajar di pedalaman Sarawak. Buku yang saya maksudkan berjudul Jom ke Pedalaman. Ianya ditulis oleh En. Mohd Zaim Jaafar yang berasal dari Teluk Intan, Perak. Buku ini dikategorikan sebagai buku kreatif bukan fiksyen.
En. Mohd Zaim Jaafar bersama buku terbitan beliau sendiri di sebelah kiri
dan buku saya Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku
Menerbitkan buku ini bagi saya sedikit mencabar. Ini kerana, masa yang diambil bagi menguruskannya tidak sampai sebulan. Fail softcopy buku ini dihantar kepada saya pada 28 November 2008. En. Zaim meminta syarikat saya (MNS) menguruskan penerbitan buku beliau bermula daripada suntingan, rekabentuk halaman, rekabentuk kulit dan cetak. Buku ini beliau hendak siap sebelum 22 Disember 2008. Ini kerana pada 22 Disember, beliau akan bertolak semula ke Sarawak menyambung tugas sebagai guru di pedalaman dan berhasrat membawa bersama beberapa naskhah buku itu.
Saya berurusan dengan En. Zaim hanya melalui telefon dan emel sahaja. Ini kerana En. Zaim tinggal di Teluk Intan, Perak. Seminggu sebelum tarikh buku itu perlu siap, En. Zaim memaklumkan bahawa jadual penerbangan beliau ke Sarawak ditunda ke 26 Disember 2008. Saya berasa lega kerana ada lebih masa bagi menguruskan penerbitan buku ini. Akhirnya, buku ini siap dicetak pada 24 Disember. Pada 25 Disember, saya menghantar sendiri 1,000 naskhah buku En. Zaim ke rumah abang beliau di Shah Alam. Saya juga dapat berjumpa dengan En. Zaim yang tiba di rumah abang beliau jam 2.45 petang sebelum berangkat ke Sarawak esok harinya melalui LCCT.
Buku ini bagi saya sungguh menarik. Ia menceritakan pengalaman En. Zaim dan rakan-rakan sebagai guru yang bertugas di Kapit, Sarawak. Kisahnya bermula apabila tamat kursus di Institut Perguruan Darul Aman, beliau diposting ke sebuah sekolah di pedalaman Sarawak. Bermula dari saat itu, pelbagai kisah suka duka yang dilalui oleh beliau dan rakan-rakan guru yang lain, diceritakan di dalam buku beliau ini. Bagi saya, buku ini cukup berguna terutamanya kepada bakal-bakal guru yang sedang mengikuti latihan di seluruh institut perguruan di seluruh negara.
Selepas membaca buku ini, kita dapat tahu apakah kisah sebenar yang berlaku di kalangan guru-guru yang mengajar di pedalaman. Teringat saya satu kisah di dalam buku ini iaitu mengenai  solat dan kiblat. Rupa-rupanya, salah satu cara yang diguna pakai oleh orang Islam di pedalaman sarawak bagi mengetahui arah kiblat ialah dengan melihat arah mana piring Astro mendongak. Saya cuba lihat arah piring Astro rumah saya sendiri. Memang betul, ianya mendongak ke arah kiblat.
Banyak lagi kisah-kisah yang boleh dijadikan tauladan di dalam buku ini. Tahniah buat En. Zaim kerana berjaya menerbit sendiri buku beliau ini. Bagi anda yang berminat mendapatkan buku ini bolehlah hubungi E. Zaim di zuhrawi@hotmail.com. Mengikut apa yang En. Zaim beritahu saya, beliau bercadang memasar dan menjual buku ini terus ke IPG seluruh negara. Selain itu beliau juga bercadang menjual buku ini di kedai buku tertentu seperti MPH dan Popular.

Doktor Perubatan Terbit Sendiri Buku Kesihatan Remaja


Syarikat saya iaitu MNS Infobiz ada menguruskan penerbitan sebuah buku yang ditulis oleh doktor perubatan. Beliau ialah Dr. Razana Zakaria yang memiliki klinik sendiri di seksyen 13 Shah Alam, Selangor iaitu Klinik Razana. Buku yang saya maksudkan berjudul 'Saya Bukan Budak Kecil Lagi'.
Buku Saya Bukan Budak Kecil Lagi yang diterbitkan oleh Dr. Razana Zakaria bersama 2 yang lain
Buku ini beliau tulis bersama-sama dengan adik beliau iaitu Dr. Rahimah Zakaria, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Suami kepada Dr. Rahimah iaitu Dr. Zahiruddin Othman, pakar perunding dan pensyarah psikiatri dari universiti yang sama turut terlibat dalam penulisan buku ini.
Dr. Razana adalah pakar perubatan keluarga. Beliau banyak memberikan ceramah mengenai kesihatan keluarga melalui beberapa agensi di bawah kerajaan dan swasta. Beliau bersama Dr. Rahimah banyak menghasilkan kertas kerja yang digunakan di dalam ceramah yang disampaikan. Kertas kerja yang dibentangkan ini pula banyak memuatkan kajian-kajian yang beliau buat.
Apabila beliau membeli dan membaca buku yang saya tulis iaitu 'Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku', timbul idea bagi membukukan kertas kerja beliau. Tulisan di dalam kertas kerja diolah semula supaya sesuai diterbitkan sebagai buku. Buku ini sesuai dijadikan bacaan untuk remaja. Ibubapa juga digalakkan membaca buku ini sebagai pengetahuan mengenai remaja.
Meskipun buku ini bersaiz kecil (5" x 7.5") dan tidak tebal (120 halaman), ianya agak mencabar kerana banyak memasukkan ilustrasi dan ikon. Ianya juga dicetak dalam 2 warna. Jadi, penerbitan buku sebegini perlu lebih berhati-hati. Tidak hairanlah, saya perlu menghasilkan pruf bagi disemak oleh penulis sebanyak 5 kali.
Menurut Dr. Razana, beliau sasarkan jualan buku ini terus melalui sesi ceramah yang beliau sampaikan. Beliau juga bercadang memasarkan buku ini melalui kedai buku. Bagi anda yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai buku ini, sila layari laman web khas yang diwujudkan oleh Dr. Razana iaitu di www.panduanremaja.com. Anda boleh beli terus buku ini melalui laman web yang saya sebutkan itu.
Tahniah saya ucapkan kepada Dr. Razana, Dr. Rahimah dan Dr. Zahiruddin kerana berjaya menerbitkan buku sendiri dan menjadi penerbit yang berjaya di masa hadapan.