Memaparkan catatan dengan label kelebihan terbit sendiri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kelebihan terbit sendiri. Papar semua catatan

Khamis

Menjadi Pakar dalam Bidang yang Anda Tulis


Sesetengah individu menulis buku kerana mahu dianggap pakar. Apabila anda menerbit sendiri buku, secara automatik anda dianggap pakar dalam bidang yang anda tulis. Anda akan dihormati kerana berkongsi ilmu yang ditulis. Ini secara tidak langsung membantu anda memperoleh pendapatan tambahan sebagai penceramah, jurulatih, konsultan dan sebagainya.
Jika anda memiliki bisnes, buku anda itu pasti dapat membantu memperkenal dan memperkembangkan lagi bisnes serta dihormati oleh para pelanggan. Dengan kata lain, buku anda menjadi alat pemasaran yang berkesan dan efektif. Buku anda secara tidak langsung mempromosi diri anda sebagai pakar dalam bidang yang dipilih. Ini membantu anda mencapai matlamat yang diimpikan.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Boleh Terbit Apa Sahaja Buku yang Anda Mahu


Anda tidak perlu lagi risau sama ada buku yang anda tulis boleh terbit ataupun tidak. Ini kerana anda terbit sendiri. Anda yang keluarkan belanja. Anda bukan mengharap belas kasihan daripada penerbit.
Penerbit mungkin menolak buku anda kerana sasaran pembacanya yang kecil. Akan tetapi anda lebih tahu siapa sasaran pembaca anda. Apabila anda terbit sendiri buku anda, sudah tentu anda akan berusaha memasarkan buku itu bersungguh-sungguh kepada pembaca sasaran. Ini termasuklah melalui internet, kedai buku, mail order dan sebagainya.
Dengan cara menerbit sendiri juga membolehkan anda berkongsi idea, ilmu, maklumat, pengalaman dan kreativiti dengan lebih ramai orang.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Meningkatkan Semangat dan Motivasi Diri


Bayangkan diri anda berjumpa daripada satu penerbit ke penerbit yang lain, akhirnya tidak ada satupun penerbit yang hendak menerbitkan manuskrip anda. Bahkan lebih teruk lagi, anda mungkin dihina dan diejek oleh penerbit mengatakan manuskrip anda tidak layak diterbitkan.
Bagaimanakah perasaan anda ketika itu? Sudah tentu anda berasa terhina. Semangat dan motivasi diri pasti jatuh merudum. Dan lebih teruk lagi, mungkin situasi itu mematahkan semangat anda bagi terus menulis buat selama-lamanya.
Jika anda menerbit sendiri buku anda, tidak ada isu manuskrip anda ditolak oleh penerbit. Tiada siapa yang hendak menghina anda. Apabila buku anda terbit, sudah tentu anda berbangga kerana hasil penat lelah anda, akhirnya buku anda terbit seperti yang dirancang dan dikehendaki. Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan semangat anda bagi terus berkarya dan berusaha mempromosi buku anda kepada pengguna.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Potongan dan Tolakan Cukai Pendapatan


Tahukah anda, royalti yang anda terima hasil daripada jualan buku dikecualikan daripada dikenakan cukai. Jumlah maksimum royalti yang dikecualikan cukai ialah sebanyak RM20,000. Oleh itu, jika anda menerbit buku dengan penerbit, hasil royalti anda dikecualikan cukai.
Tetapi, apabila anda menerbit sendiri buku anda, anda bukan sahaja dikecualikan cukai bagi royalti yang diterima. Bahkan anda berhak menolak belanja yang dikeluarkan daripada cukai pendapatan.
Apabila anda menerbit dan menjual sendiri buku anda, anda dianggap menjalankan perniagaan. Pendapatan yang anda perolehi hasil menjual sendiri buku dianggap sebagai pendapatan berpunca daripada perniagaan. Oleh itu, sebarang belanja yang anda keluarkan dalam menjalankan perniagaan boleh ditolak cukai.
Sebagai contoh jika anda menggunakan rumah kediaman anda sebagai premis perniagaan, segala bil air, elektrik, cukai tanah, cukai pintu, sewa, faedah pinjaman, kos ubahsuai dan selenggara rumah boleh ditolak daripada cukai pendapatan. Begitu juga jika anda mengguna kenderaan, segala belanja petrol, tol, kos membaiki dan menyelenggara serta insurans boleh ditolak.
Selain daripada itu, antara belanja lain yang boleh ditolak cukai ialah bil telefon, belanja hotel, gaji pekerja, derma, belanja keraian, komputer, dan lain-lain lagi.
Namun begitu, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri mensyaratkan, sebelum individu layak menolak belanja perniagaan daripada cukai, dokumen dan bukti bertulis perlu ada sebagai sokongan. Jika tidak, belanja yang dibuat tidak boleh ditolak dan anda mungkin dikenakan penalti. Antara contoh dokumen itu ialah resit, inbois, dan lain-lain.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Kuasa Penerbitan di Tangan Anda


Prof. Madya Dr. Hashim (bukan nama sebenar) berjaya menerbitkan sebuah buku berjudul Prinsip Pemasaran dengan salah sebuah penerbit besar di Kuala Lumpur. Beliau cukup gembira dengan terbitnya buku itu. Ini membuka peluang beliau naik pangkat ke jawatan profesor satu hari nanti.
Namun begitu, beliau tidak berpuas hati dengan kulit bukunya itu. Semasa membuat pruf buku itu, beliau ada mencadangkan kepada penerbit supaya menukar kulit buku yang dibuat oleh artis grafik. Ini kerana gambar yang digunakan tidak sesuai. Begitu juga jenis tipografi yang digunakan tidak begitu menyerlah. Beliau mengharapkan penerbit dapat menerima saranan beliau agar ditukar gambar dan tipografi. Tetapi akhirnya, apabila terbit, beliau dapati kulit bukunya masih memakai gambar dan tipografi yang sama.
Pernahkah anda mengalami senario seperti di atas. Lazimnya penerbit memiliki kuasa penuh dalam menentukan saiz buku, rekabentuk kulit dan teks dalam, harga, judul, jumlah cetakan dan lain-lain. Biasanya ini termaktub dalam perjanjian penerbitan. Mengapakah penerbit hendak memegang kesemua kuasa penerbitan?
Jika penerbit tidak memegang kuasa penerbitan sepenuhnya, besar kemungkinan, buku penulis tidak akan terbit ataupun lambat terbit. Apa tidaknya, masing-masing memiliki cita rasa yang berbeza. Penulis hendak putih, penerbit hendak hitam. Akhirnya penerbit terpaksa mengguna kuasa veto bagi menyelesaikan masalah.
Walaupun demikian, masih ada penerbit yang bersikap tolak ansur dan bersedia mendengar dan menerima cadangan penulis. Ini bergantung pada bagaimana penulis dapat melembutkan hati penerbit.
Adakah perkara seperti ini akan berlaku jika anda terbit sendiri? Sudah tentu tidak. Anda bebas menentukan rekabentuk kulit buku anda, berapa harganya, saiz, tebal, warna, jumlah cetakan dan sebagainya. Itulah lebihnya jika anda sendiri menjadi penerbit buku anda.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Jualan Buku Dapat Dilipat Gandakan


Apabila anda menerbit buku dengan penerbit, anda perlu tahu bahawa bukan buku anda seorang yang diterbitkan. Terdapat beratus-ratus lagi buku oleh pelbagai penulis yang diterbitkan. Oleh itu, anda tidak boleh terlalu berharap penerbit akan mempromosikan berhabis-habisan buku anda kecuali anda adalah selebriti hiburan, tokoh politik ataupun orang ternama.
Biasanya, penerbit mempunyai bajet yang terhad bagi tujuan promosi. Bagi menjimatkan kos promosi, penerbit terpaksa memilih buku yang mereka sasar dapat menjadi best-seller sahaja. Bagi buku yang penerbit sasar menjadi best-seller, mereka mempromosi buku itu lebih daripada buku-buku yang lain. Poster-poster khas dibuat bagi judul yang dipilih berserta foto wajah penulis. Pendek kata penerbit tidak akan teragak-agak berbelanja besar bagi buku yang ditulis oleh selebriti, tokoh politik ataupun orang ternama kerana mereka yakin buku-buku ini boleh menjadi best-seller.
Bagi buku biasa pula, mereka akan mempromosi buku-buku secara set. Sebagai contoh, jika ada 7 buku mengenai kesihatan oleh 7 penulis berbeza, mereka akan mempromosikan buku itu sebagai set buku kesihatan. Maka dibuat poster yang memaparkan 7 kulit buku berlainan judul oleh 7 orang penulis yang berlainan dalam satu poster. Foto wajah 7 penulis itu langsung tidak diletak pada poster. Dengan kata lain 7 penulis itu berkongsi bahan promosi. Ini dapat menjimatkan kos penerbit.
Apabila senario mempromosi penulis ataupun buku tertentu sahaja, sudah tentu ada buku yang akan tercicir daripada segi promosi. Ini menyebabkan tidak ramai pengguna tahu mengenai buku itu. Secara tidak langsung jualan buku kurang.
Sebaliknya, jika anda sendiri menerbit buku anda, tanggung-jawab promosi semestinya di bahu anda. Anda kenal siapa sasaran pembeli buku yang anda tulis dan di mana anda perlu mempromosikannya. Anda tidak perlu sibuk mempromosi buku orang lain.
Jika sebuah buku sahaja yang anda terbit, anda boleh fokus sepenuhnya mempromosi buku anda sama ada dengan memberi ceramah, bengkel, mempromosi di internet, melalui emel dan banyak lagi cara. Sudah tentu promosi habis-habisan yang anda lakukan dapat menarik minat ramai pengguna membeli buku anda. Tidak mustahil jualan buku anda berlipat kali ganda daripada jualan yang boleh dibuat oleh penerbit.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Buku Terbit Lebih Cepat


Biasanya, apabila penerbit bersetuju menerbit buku anda, penerbit akan memaklumkan bahawa buku anda akan terbit dalam tempoh 18 bulan dari tarikh manuskrip lengkap diterima ataupun dari tarikh perjanjian penerbitan ditandatangani. Ada penerbit memberi tempoh 12 bulan dan mungkin ada yang sampai 2 tahun.
Seorang pensyarah IPT tempatan pernah memberitahu saya, sebuah penerbit besar mengambil masa hampir 5 tahun sebelum menerbitkan manuskrip beliau. Bayangkan jika buku anda tulis itu mengenai isu semasa ataupun buku mengenai teknologi, sudah tentu apabila terbit, buku anda dianggap sebagai sudah tidak relevan.
Mengapa ini berlaku? Sebelum penerbit mengambil keputusan menerbit ataupun tidak manuskrip yang anda hantar, mereka perlu membuat kaji selidik pasaran terlebih dahulu. Mereka juga perlu menilai mutu manuskrip anda dengan cara melantik penilai luar. Selain itu, penerbit perlu mengira untung rugi jika mereka menerbit manuskrip anda. Ini sudah tentu mengambil masa.
Apabila manuskrip anda sudah diterima, penerbit perlu mengatur jadual penerbitan buku anda. Ini termasuklah melantik editor, membuat rekabentuk halaman dan kulit, membuat indeks, mencetak dan sebagainya. Biasanya, penerbit kecil yang hanya menerbitkan 20 judul setahun, mampu menyingkatkan tempoh terbit buku anda. Tetapi jika penerbit itu adalah penerbit besar yang menerbit 200 hingga 300 judul setahun, masa yang diambil lebih panjang. Ini kerana penerbit besar perlu membuat belanjawan terlebih dahulu di samping menyediakan pelan pemasaran yang baik. Selain itu, penerbit mungkin mengalami masalah tenaga kerja editor yang tidak cukup berbanding judul yang banyak bagi diterbitkan.
Apabila anda menerbit sendiri buku anda, sudah tentu anda tidak mengalami masalah seperti di atas. Segalanya terpulang kepada anda. Katakan anda hendak menerbit buku rujukan bacaan pelajar anda sebelum semester bermula, anda pasti dapat menerbitkannya kerana anda sendiri penerbitnya.
Bayangkan jika anda menyerahkan buku kepada penerbit. Belum tentu ianya dapat terbit pada masa yang anda inginkan. Masalah ini sering terjadi kepada pensyarah-pensyarah IPT yang mahu buku mereka diterbitkan oleh penerbit besar. Akibatnya mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Mungkin juga buku mereka cepat terbit tetapi tidak kena pada masanya. Sebagai contoh, buku terbit apabila semester hampir tamat.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Lebih Cepat Dapat Duit


Satu lagi kelebihan terbit sendiri buku ialah, anda tidak perlu tunggu 6 hingga 12 bulan bagi mendapat hasil jualan buku anda. Ini kerana jika anda menjual terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah, anda terus menerima bayaran. Ini berbeza jika anda menerbit dengan penerbit buku. Anda terpaksa tunggu sehingga tempoh tertentu sebelum dibayar royalti.
Industri buku sebenarnya ialah industri kredit. Semuanya berasaskan hutang. Dan hutang itu perlu dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan. Sebagai contoh, jika penerbit menjual buku kepada kedai buku, kedai buku diberi tempoh mungkin 60 hari, 90 hari, ataupun 120 hari sebelum perlu membayar kepada penerbit. Ini bermakna penerbit perlu menunggu sebelum buku yang dijual dibayar harganya oleh kedai. Sebab itulah mengapa penerbit mengambil tempoh lama sebelum dapat membayar royalti kerana jualan yang dibuat bukan berbentuk tunai.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!

Mendapat Lebih Banyak Duit


Umumnya, apabila anda menerbit manuskrip dengan mana-mana penerbit, anda akan dibayar royalti. Ada penerbit yang menawarkan royalti sebanyak 10 peratus daripada harga jualan buku. Mungkin ada yang lebih tinggi sehingga mencecah 20 peratus. Secara umumnya, penerbit-penerbit buku di Malaysia menawarkan royalti antara 7 hingga 20 peratus, bergantung pada kedudukan dan prestasi syarikat penerbitan.
Bagaimana royalti dikira? Sebagai contoh anda menerbit judul A dengan penerbit B. Harga buku ialah RM20. Peratus royalti yang ditawarkan pula ialah 10 peratus daripada harga buku. Katakan buku anda dicetak sebanyak 2,000 naskhah dan semuanya habis terjual dalam tempoh setahun. Maka royalti anda seperti berikut:
Royalti buku anda
=
Peratus royalti x harga jualan x jumlah terjual
=
10% x RM20 x 2,000
=
RM4,
Ini bermakna, royalti yang bakal anda terima bagi tahun pertama buku itu diterbitkan dengan penerbit B ialah RM4,000. Atau dengan kata lain setiap buku anda yang terjual, anda mendapat RM2. Mungkin anda tertanya-tanya, ke mana perginya 90 peratus lagi wang yang dibayar oleh pembeli buku? Adakah semuanya ‘dimakan’ oleh penerbit? Kalau benarlah keadaan itu, sudah tentu ini tidak adil.
Biar saya jelaskan bagaimana sebenarnya buku beralih tangan daripada penerbit kepada pengguna. Dalam industri penerbitan, buku sampai ke tangan pengguna melalui beberapa cara. Sila lihat carta di bawah.
PENERBIT
PENGEDAR
PEMBORONG
KEDAI BUKU / PERPUSTAKAAN
PENGGUNA
Biasanya, penerbit tidak mempunyai kedai buku sendiri bagi menjual buku yang diterbitkan. Penerbit terpaksa menggunakan khidmat pengedar buku, pemborong buku dan penjual buku bagi memastikan buku dapat dijual kepada pengguna. Penerbit perlu memberi diskaun kepada pihak-pihak terlibat ini. Diskaun yang diberikan antara 30 hingga 50 peratus daripada harga jualan buku. Adakalanya lebih tinggi.
Pengedar buku, pemborong dan penjual memerlukan diskaun bagi membolehkan mereka mengedar dan menjual buku. Beza harga antara harga jualan dan harga selepas diskaun itulah sebenarnya yang dikira sebagai pendapatan pihak-pihak terlibat. Ini bagi membolehkan mereka membayar sewa, gaji, pinjaman dan mendapat untung bisnes yang dijalankan.
Apabila anda menerbit sendiri, sebenarnya anda dapat memaksimumkan pendapatan. Biasanya anda dapat memasarkan sendiri buku anda terus kepada pengguna. Ini dapat dilakukan dengan cara memasarkannya melalui internet, jualan langsung dan pelbagai cara lagi. Apabila anda memasar dan menjual terus kepada pengguna, anda tidak melalui orang tengah iaitu pengedar, pemborong dan penjual buku. Oleh itu, diskaun yang sepatutnya diberikan kepada pihak terlibat ini sudah dapat masuk poket anda.
Mari kita lihat berapa yang bakal anda perolehi jika anda terbit sendiri buku itu. Andaikan harga buku itu masih sama iaitu RM20. Anda berjaya menjual terus kepada pengguna dalam tempoh setahun sebanyak 2,000 naskhah. Jadi pendapatan kasar anda ialah:
Pendapatan kasar
=
harga buku x jumlah terjual
=
RM20 x 2,000
=
RM40,000
Ini adalah pendapatan kasar sahaja. Bagi mendapat pendapatan sebenar, anda perlulah menolak kos-kos yang terlibat dalam menerbit dan memasarkan sendiri buku anda itu. Sebagai contoh, kos membangunkan buku itu seperti kos membuat rekabentuk halaman dan kulit, membuat filem, mencetak, promosi, membina laman web, penghantaran dan lain-lain. Andaikan jumlah kos yang perlu ditolak RM10,000. Maka pendapatan bersih anda ialah RM40,000 – RM10,000 = RM30,000.
Jadi yang mana lebih banyak? Jika terbit dengan penerbit anda mendapat RM4,000 setahun. Tetapi jika anda terbit sendiri, pendapatan anda ialah RM30,000 setahun. Sudah tentu terbit sendiri lebih untung.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!