Khamis

Kuasa Penerbitan di Tangan Anda


Prof. Madya Dr. Hashim (bukan nama sebenar) berjaya menerbitkan sebuah buku berjudul Prinsip Pemasaran dengan salah sebuah penerbit besar di Kuala Lumpur. Beliau cukup gembira dengan terbitnya buku itu. Ini membuka peluang beliau naik pangkat ke jawatan profesor satu hari nanti.
Namun begitu, beliau tidak berpuas hati dengan kulit bukunya itu. Semasa membuat pruf buku itu, beliau ada mencadangkan kepada penerbit supaya menukar kulit buku yang dibuat oleh artis grafik. Ini kerana gambar yang digunakan tidak sesuai. Begitu juga jenis tipografi yang digunakan tidak begitu menyerlah. Beliau mengharapkan penerbit dapat menerima saranan beliau agar ditukar gambar dan tipografi. Tetapi akhirnya, apabila terbit, beliau dapati kulit bukunya masih memakai gambar dan tipografi yang sama.
Pernahkah anda mengalami senario seperti di atas. Lazimnya penerbit memiliki kuasa penuh dalam menentukan saiz buku, rekabentuk kulit dan teks dalam, harga, judul, jumlah cetakan dan lain-lain. Biasanya ini termaktub dalam perjanjian penerbitan. Mengapakah penerbit hendak memegang kesemua kuasa penerbitan?
Jika penerbit tidak memegang kuasa penerbitan sepenuhnya, besar kemungkinan, buku penulis tidak akan terbit ataupun lambat terbit. Apa tidaknya, masing-masing memiliki cita rasa yang berbeza. Penulis hendak putih, penerbit hendak hitam. Akhirnya penerbit terpaksa mengguna kuasa veto bagi menyelesaikan masalah.
Walaupun demikian, masih ada penerbit yang bersikap tolak ansur dan bersedia mendengar dan menerima cadangan penulis. Ini bergantung pada bagaimana penulis dapat melembutkan hati penerbit.
Adakah perkara seperti ini akan berlaku jika anda terbit sendiri? Sudah tentu tidak. Anda bebas menentukan rekabentuk kulit buku anda, berapa harganya, saiz, tebal, warna, jumlah cetakan dan sebagainya. Itulah lebihnya jika anda sendiri menjadi penerbit buku anda.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!