Khamis

Buku yang sesuai diterbit sendiri


Buku bukan fiksyen adalah kategori buku terbaik bagi diterbit sendiri. Ini kerana target pembacanya spesifik, khusus dan terhad. Jika anda adalah pakar di dalam sesuatu bidang ataupun tahu target pembaca untuk buku anda, anda mampu menerbit sendiri buku dengan jayanya.
Buku bukan fiksyen bermaksud buku yang bukan direka-reka isinya seperti novel. Sebaliknya ia adalah buku yang berasaskan fakta. Sebagai contoh buku akademik dalam pelbagai bidang seperti pemasaran, jualan, kesihatan, perakaunan, kaunseling, komputer, kewangan, pendidikan dan sebagainya.
Memang sukar meyakinkan penerbit komersial menerbit buku yang mempunyai target pembaca yang terhad. Ini kerana kos menerbit dan memasarkan satu-satu buku adalah besar. Oleh itu, penerbit komersial perlu memastikan buku yang diterbitkan mempunyai pasaran yang luas.
Jika kerjaya anda sebagai penceramah dalam sesuatu bidang dan setiap hari menyampaikan ceramah, inilah peluang anda menerbit sendiri buku. Anda dengan mudah dapat mempromosi dan menjual buku yang anda terbitkan sendiri kepada peserta yang menghadiri ceramah.
Begitu juga jika anda adalah pensyarah. Sudah tentu pelajar yang mengikuti kuliah anda ramai. Anda berpeluang menukar apa yang disampaikan di dalam kelas ke dalam bentuk buku. Seterusnya anda terbit sendiri buku itu dan jadikan ia teks wajib beli oleh pelajar anda.
Bagaimana pula dengan buku fiksyen seperti novel? Bolehkah ianya berjaya dengan terbit sendiri. Jawapannya ‘ya’ dan ‘tidak’. Secara umumnya, buku fiksyen tidak sesuai diterbit sendiri. Ini kerana target pembacanya terlalu luas dan pelbagai. Jika anda menerbit sendiri, usaha bagi mempromosi novel anda itu perlu dilipat gandakan. Ini kerana anda bersendirian melaksanakan segala tugas promosi. Anda juga perlu bersaing dengan novel-novel lain yang begitu banyak di pasaran dan diterbit oleh penerbit-penerbit terkenal. Oleh itu, novel lebih berjaya jika ianya diterbitkan oleh penerbit komersial seperti Alaf 21 dan Creative Enterprise. Ini kerana penerbit seperti ini sudah dikenali sebagai penerbit novel.
Namun begitu menerbit sendiri novel boleh berjaya jika sekiranya anda adalah novelis terkenal dan mempunyai ramai pengikut. Sebagai contoh Norhayati Berahim yang sekarang menerbit sendiri novel beliau di bawah jenama NB.
Buku kanak-kanak juga tidak sesuai diterbit sendiri. Ini kerana buku jenis ini perlu banyak ilustrasi dan dicetak dalam empat warna menggunakan kertas berkualiti tinggi. Sudah tentu kos menerbit buku seperti ini tinggi dan perlu dicetak dalam kuantiti yang banyak bagi memastikan penerbit balik modal serta mencapai margin untung seperti yang dirancang.
Walau bagaimanapun, tidak bermakna hanya buku bukan fiksyen yang sesuai dan boleh berjaya dengan menerbit sendiri. Buku kanak-kanak dan fiksyen juga boleh berjaya dengan terbit sendiri. Tetapi dengan syarat anda perlu memiliki buku yang unik dan anda bersedia melabur dengan banyak daripada segi kewangan, tenaga dan masa bagi mempromosi buku anda itu.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!