Jumaat

Doktor Perubatan Terbit Sendiri Buku Kesihatan Remaja


Syarikat saya iaitu MNS Infobiz ada menguruskan penerbitan sebuah buku yang ditulis oleh doktor perubatan. Beliau ialah Dr. Razana Zakaria yang memiliki klinik sendiri di seksyen 13 Shah Alam, Selangor iaitu Klinik Razana. Buku yang saya maksudkan berjudul 'Saya Bukan Budak Kecil Lagi'.
Buku Saya Bukan Budak Kecil Lagi yang diterbitkan oleh Dr. Razana Zakaria bersama 2 yang lain
Buku ini beliau tulis bersama-sama dengan adik beliau iaitu Dr. Rahimah Zakaria, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Suami kepada Dr. Rahimah iaitu Dr. Zahiruddin Othman, pakar perunding dan pensyarah psikiatri dari universiti yang sama turut terlibat dalam penulisan buku ini.
Dr. Razana adalah pakar perubatan keluarga. Beliau banyak memberikan ceramah mengenai kesihatan keluarga melalui beberapa agensi di bawah kerajaan dan swasta. Beliau bersama Dr. Rahimah banyak menghasilkan kertas kerja yang digunakan di dalam ceramah yang disampaikan. Kertas kerja yang dibentangkan ini pula banyak memuatkan kajian-kajian yang beliau buat.
Apabila beliau membeli dan membaca buku yang saya tulis iaitu 'Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku', timbul idea bagi membukukan kertas kerja beliau. Tulisan di dalam kertas kerja diolah semula supaya sesuai diterbitkan sebagai buku. Buku ini sesuai dijadikan bacaan untuk remaja. Ibubapa juga digalakkan membaca buku ini sebagai pengetahuan mengenai remaja.
Meskipun buku ini bersaiz kecil (5" x 7.5") dan tidak tebal (120 halaman), ianya agak mencabar kerana banyak memasukkan ilustrasi dan ikon. Ianya juga dicetak dalam 2 warna. Jadi, penerbitan buku sebegini perlu lebih berhati-hati. Tidak hairanlah, saya perlu menghasilkan pruf bagi disemak oleh penulis sebanyak 5 kali.
Menurut Dr. Razana, beliau sasarkan jualan buku ini terus melalui sesi ceramah yang beliau sampaikan. Beliau juga bercadang memasarkan buku ini melalui kedai buku. Bagi anda yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai buku ini, sila layari laman web khas yang diwujudkan oleh Dr. Razana iaitu di www.panduanremaja.com. Anda boleh beli terus buku ini melalui laman web yang saya sebutkan itu.
Tahniah saya ucapkan kepada Dr. Razana, Dr. Rahimah dan Dr. Zahiruddin kerana berjaya menerbitkan buku sendiri dan menjadi penerbit yang berjaya di masa hadapan.