Mengenai TerbitSendiri.com


Laman ini dimiliki oleh MNS Infobiz Consultancy (001697864-H), sebuah bisnes yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Idea membina laman web ini tercetus apabila melihat senario industri penerbitan buku umum di Malaysia yang masih belum mampu menyaingi negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, apatah lagi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan banyak lagi. Saingan yang dimaksudkan ialah dari segi jumlah bilangan judul yang diterbitkan setiap tahun dan kualiti buku.
Antara faktor mengapa perkara ini berlaku mungkin kerana kurangnya saluran bagi penulis menerbitkan karya mereka terutamanya karya umum. Saluran yang dimaksudkan ialah penerbit-penerbit buku baik kerajaan mahupun swasta. Penerbit buku yang sedia ada pula mempunyai fokus penerbitan mereka yang tersendiri. Ini menyebabkan penerbit terpaksa menolak banyak manuskrip kerana tidak sesuai dengan jenis buku yang diterbitkan.
Atas kesedaran bagi membantu para penulis menerbit buku impian mereka, maka timbul idea bagi menggalakkan penulis menerbit sendiri buku. Menerbit sendiri buku bukanlah asing terutamanya di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ramai penulis-penulis terkenal dengan buku-buku Best-seller mereka sebenarnya bukanlah diterbit oleh penerbit terkenal. Tetapi mereka menerbit sendiri dengan belanja dari poket sendiri.
Di Malaysia sendiri, sudah ramai penulis yang menerbit sendiri buku mereka. Antaranya Azizi Ali, Norhayati Berahim, Dato' A Samad Said, dan ramai lagi. Ramai juga yang menerbit sendiri buku terdiri di kalangan pensyarah universiti dan kolej khusus untuk para pelajar mereka.
Adalah diharapkan dengan adanya laman web ini, penulis dan individu dapat mengambil manfaat dan mempelajari teknik dan rahsia bagaimana menerbit sendiri buku. Seterusnya menjana pendapatan sampingan daripada bisnes buku.

Objektif Kami
Objektif kami yang utama dalam mewujudkan laman ini ialah:

  1. Membimbing dan memberi khidmat nasihat kepada penulis bagi menerbit sendiri buku
  2. Membantu merancakkan industri penerbitan buku negara
  3. Membantu penulis memahami lebih mendalam undang-undang hak cipta