Jumaat

Michael J. Losier terbit sendiri buku Law of Attraction


Hari ini 29 November 2008, saya menghadiri seminar Law of Attraction di Renaissance Hotel Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Seminar itu disampaikan oleh penceramah dan juga penulis buku Law of Attraction iaitu Michael J. Losier. Beliau berasal dari Kanada.
Buku Law of Attraction yang diterbit sendiri oleh Michael J. Losier
Apa yang Losier ajar sepanjang seminar itu? Beliau mengajarkan teknik bagaimana menarik apa yang anda kehendaki dan menghindarkan apa yang anda tidak kehendaki. Teknik yang diajarkan ini cukup berguna dalam hidup kita semua terutamanya dalam aspek perhubungan, kewangan, kesihatan, dan sebagainya.
Seminar ini dihadiri oleh lebih 150 orang peserta. Seminar ini berbayar. Oleh kerana penceramahnya adalah penceramah antarabangsa, yuran bagi menghadiri seminar ini agak mahal iaitu RM1,399. Bagi yang mendaftar melalui PTS iaitu syarikat penerbitan di mana saya bertugas, yurannya ialah RM899.
Bagaimana saya boleh menghadiri seminar semahal ini? Apa hebatnya Michael J. Losier? Sebenarnya syarikat di mana saya bekerja iaitu PTS Professional baru sahaja menerbitkan satu buku terjemahan berjudul Hukum Tarikan. Buku ini adalah terjemahan daripada karya asal iaitu Law of Attraction karya Losier.
Kebetulan, Losier datang ke Malaysia bagi mempromosikan buku beliau dan mengendalikan seminar pada hari ini. Jadi PTS sebagai penerbit buku terjemahan beliau dalam bahasa Melayu mengambil kesempatan mempromosikan buku beliau dalam edisi bahasa Melayu. Antara program promosi yang dibuat ialah sesi temubual di TV2 dalam rancangan Hello On 2. Losier juga turut mengadakan sesi 'author's signing' di kedai buku MPH Mid Valley.
Penganjur yang mengendalikan seminar ini bermurah hati memberikan 3 tiket percuma kepada PTS. Jadi, sebagai pengurus PTS Professional, saya diberi peluang menghadiri seminar itu.
Bagi anda yang berminat hendak membaca buku Law of Attraction, boleh membeli buku itu sama ada edisi bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu di kedai-kedai buku utama seperti MPH dan Popular. Buku Law of Attraction menjadi antara 10 buku best-seller sepanjang tahun 2008.
Apa yang saya hendak tarik perhatian anda ialah, semasa seminar itu berlangsung, Losier mendedahkan sesuatu yang saya tidak tahu sebelum ini. Beliau mendedahkan bahawa, buku beliau itu iaitu Law of Attraction pada awalnya beliau terbit sendiri. Beliau juga menjual sendiri buku itu melalui Amazon.com dan pelbagai cara lagi. Beliau sendiri memproses dan menghantar setiap pesanan buku yang diperolehi.
Buku edisi bahasa Inggeris yang anda lihat berada di pasaran sekarang ialah buku yang diterbitkan semula oleh penerbit Wellness Central. Ianya diterbitkan semula tanpa sebarang perubahan. Ianya tetap sama sebagaimana edisi asal yang diterbit sendiri oleh Losier.
Dengan hanya satu buku ini yang diterbitkan sendiri pada awalnya, beliau kini menjadi terkenal dan dianggap sebagai pakar dalam subjek Law of Attraction atau Hukum Tarikan.