Jumaat

Guru Terbit Sendiri Buku Catatan Pengalaman Mengajar di Pedalaman


Minggu lepas, saya berjaya menguruskan penerbitan buku seorang guru yang mengajar di pedalaman Sarawak. Buku yang saya maksudkan berjudul Jom ke Pedalaman. Ianya ditulis oleh En. Mohd Zaim Jaafar yang berasal dari Teluk Intan, Perak. Buku ini dikategorikan sebagai buku kreatif bukan fiksyen.
En. Mohd Zaim Jaafar bersama buku terbitan beliau sendiri di sebelah kiri
dan buku saya Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku
Menerbitkan buku ini bagi saya sedikit mencabar. Ini kerana, masa yang diambil bagi menguruskannya tidak sampai sebulan. Fail softcopy buku ini dihantar kepada saya pada 28 November 2008. En. Zaim meminta syarikat saya (MNS) menguruskan penerbitan buku beliau bermula daripada suntingan, rekabentuk halaman, rekabentuk kulit dan cetak. Buku ini beliau hendak siap sebelum 22 Disember 2008. Ini kerana pada 22 Disember, beliau akan bertolak semula ke Sarawak menyambung tugas sebagai guru di pedalaman dan berhasrat membawa bersama beberapa naskhah buku itu.
Saya berurusan dengan En. Zaim hanya melalui telefon dan emel sahaja. Ini kerana En. Zaim tinggal di Teluk Intan, Perak. Seminggu sebelum tarikh buku itu perlu siap, En. Zaim memaklumkan bahawa jadual penerbangan beliau ke Sarawak ditunda ke 26 Disember 2008. Saya berasa lega kerana ada lebih masa bagi menguruskan penerbitan buku ini. Akhirnya, buku ini siap dicetak pada 24 Disember. Pada 25 Disember, saya menghantar sendiri 1,000 naskhah buku En. Zaim ke rumah abang beliau di Shah Alam. Saya juga dapat berjumpa dengan En. Zaim yang tiba di rumah abang beliau jam 2.45 petang sebelum berangkat ke Sarawak esok harinya melalui LCCT.
Buku ini bagi saya sungguh menarik. Ia menceritakan pengalaman En. Zaim dan rakan-rakan sebagai guru yang bertugas di Kapit, Sarawak. Kisahnya bermula apabila tamat kursus di Institut Perguruan Darul Aman, beliau diposting ke sebuah sekolah di pedalaman Sarawak. Bermula dari saat itu, pelbagai kisah suka duka yang dilalui oleh beliau dan rakan-rakan guru yang lain, diceritakan di dalam buku beliau ini. Bagi saya, buku ini cukup berguna terutamanya kepada bakal-bakal guru yang sedang mengikuti latihan di seluruh institut perguruan di seluruh negara.
Selepas membaca buku ini, kita dapat tahu apakah kisah sebenar yang berlaku di kalangan guru-guru yang mengajar di pedalaman. Teringat saya satu kisah di dalam buku ini iaitu mengenai  solat dan kiblat. Rupa-rupanya, salah satu cara yang diguna pakai oleh orang Islam di pedalaman sarawak bagi mengetahui arah kiblat ialah dengan melihat arah mana piring Astro mendongak. Saya cuba lihat arah piring Astro rumah saya sendiri. Memang betul, ianya mendongak ke arah kiblat.
Banyak lagi kisah-kisah yang boleh dijadikan tauladan di dalam buku ini. Tahniah buat En. Zaim kerana berjaya menerbit sendiri buku beliau ini. Bagi anda yang berminat mendapatkan buku ini bolehlah hubungi E. Zaim di zuhrawi@hotmail.com. Mengikut apa yang En. Zaim beritahu saya, beliau bercadang memasar dan menjual buku ini terus ke IPG seluruh negara. Selain itu beliau juga bercadang menjual buku ini di kedai buku tertentu seperti MPH dan Popular.