Siapa Nazrul Samsudin


Mungkin anda tertanya-tanya siapa diri saya? Apakah kelayakan yang saya miliki?

Nama saya Nazrul Samsudin. Saya adalah Pengurus Besar di Jabatan Jualan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Tugas saya ialah menjaga urusan operasi jualan dan edaran buku-buku terbitan PTS.



Sebelum menjawat jawatan sekarang saya pernah bertugas sebagai Pengurus Penerbitan di PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. (PTS Pro). Syarikat yang saya uruskan ini fokus menerbitkan buku kategori bisnes, pengurusan dan pendidikan dalam bahasa Melayu untuk pasaran di kedai buku dan juga sektor sekolah.

Jika anda ke kedai-kedai buku utama seluruh negara seperti MPH, Popular dan lain-lain, perhatikan di rak-rak buku bisnes dan pengurusan dalam bahasa Melayu, kebanyakan buku di rak itu diterbitkan oleh PTS Pro.

Berikut latar belakang pendidikan saya:
  • Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari UIAM pada tahun 2002
  • Ijazah Sarjana Undang-undang Perbandingan juga dari UIAM pada tahun 2004
  • Sijil Pengurusan Syarikat dari Pusat Undang-undang, Kulliyah Undang-undang, UIAM pada 2003.
Saya berkecimpung dalam bidang penerbitan buku hampir 10 tahun. Sebaik tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, saya terus dipelawa menyertai PTS. Kerjaya saya dalam bidang penerbitan bermula dari bawah. Berikut antara jawatan yang pernah saya sandang di PTS.
  • Jurulatih Kanan, PTS Consultants Sdn. Bhd. (Jun 2002 – Ogos 2002) - bertugas merangka modul program kem motivasi dan melatih fasilitator.
  • Editor Perolehan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (September 2002 – Jun 2004) - merancang dan membangunkan judul buku, menjalankan penyelidikan, mengendalikan bengkel penulisan di institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi mencungkil penulis berbakat, memantau, mendorong dan memotivasi penulis.
  • Pengurus Pengeluaran, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (Julai – Disember 2004) - mengatur jadual penerbitan buku, menyediakan kos penerbitan, berurusan dengan pencetak buku, memantau kerja editor pengurusan, menentukan rekabentuk halaman dan kulit buku.
  • Pengurus Penerbitan, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. (Januari 2005 – Jun 2009) - memantau operasi penerbitan secara keseluruhan, meluluskan judul dan manuskrip yang bakal diterbitkan, menyelaraskan jadual penerbitan, menyediakan bajet penerbitan, menyelaraskan aktiviti promosi dan pemasaran buku.
  • Timbalan Pengurus Pemasaran, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (Julai 2009 – Disember 2010) - merancang dan memantau aktiviti promosi da pemasaran buku-buku terbitan PTS melalui internet.
  • Pengurus Jualan, PTS Bookcafe Sdn. Bhd. (Januari - April 2011) - merancang dan memantau aktiviti jualan buku PTS secara online.
  • Pengurus Jualan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (Mei 2011 - Disember 2013) -  merancang dan memantau aktiviti jualan dan edaran buku-buku terbitan PTS.
  • Pengurus Besar, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (Januari 2014 - sekarang) - menjaga urusan operasi jualan dan edaran buku-buku terbitan PTS.
  • Pegawai Undang-undang, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (2005 – sekarang) - menasihat syarikat mengenai perkara berkaitan undang-undang hak cipta dan penerbitan.
Sepanjang bertugas di PTS, saya berjaya mengurus dan menerbitkan lebih daripada 350 judul buku pelbagai kategori. Antara buku yang saya sendiri bawa masuk dan menjadi bestseller ialah Rahsia Bisnes Orang Cina oleh Ann Wan Seng yang diterbitkan pada 2006 dan sehingga hari ini tercetak lebih daripada 35,000 naskhah dan menjadi bestseller di Indonesia dan terjual lebih daripada 40,000 naskhah di sana.

Saya juga pernah bertanggungjawab menguruskan penerbitan buku terjemahan oleh penulis-penulis terkenal di peringkat antarabangsa dalam bidang bisnes dan pengurusan ke dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah buku oleh John C. Maxwell, Brian Tracy, Philip Kotler dan Peter Drucker. Saya juga bertanggungjawab membuat urusan bagi mendapatkan hak terjemahan melalui agen-agen yang dilantik penulis-penulis berkenaan.

Selain pengalaman kerja, berikut kelayakan dan pengalaman lain:
  • Jurulatih Kelas Penulisan Popular, UNITAR Kelana Jaya – (Ogos 2005 – sekarang) - melatih para pelajar dengan teknik penulisan berkesan, teknik adaptasi, teknik terbit sendiri buku, ilmu hak cipta dan dunia penerbitan di Malaysia.
  • Pengurus Projek - menerbitkan buku-buku terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) pada 2003-2004 di mana PTS dilantik sebagai kontraktor.
  • Pengurus Projek – menerbitkan buku Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia berjudul “Jejak Langkah Cenderasari ke Putrajaya” - 50 Tahun Pengalaman Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 2008.
  • Pengurus Projek - menerbitkan Prosiding Persidangan Penterjemahan Antarabangsa pada 2006, 2007, 2008 dan 2011.