Khamis

Senario terbit sendiri buku di Malaysia


Di Malaysia sendiri, semakin ramai penulis yang menerbit sendiri buku mereka. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan mereka menerbit sendiri sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
Antara penulis yang menerbit sendiri buku mereka ialah Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said melalui syarikat yang ditubuhkan sendiri iaitu Wira Bukit Sdn. Bhd. Sebelum ini kebanyakan karya-karya beliau diterbitkan oleh penerbit-penerbit besar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Anda mungkin kenal dengan penulis novel Ahadiat Akashah yang terkenal dengan novel beliau Budak Setan satu masa dahulu. Nama beliau tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai penulis novel paling banyak di Malaysia iaitu melebihi 70 judul. Pada awalnya beliau juga menerbit novel dengan penerbit tempatan. Selepas itu beliau mula mempelajari teknik menerbit sendiri buku dan menerbitkan dari rumah beliau sendiri. Selain novel sendiri, beliau turut menerbitkan novel penulis lain.
Seorang lagi novelis yang kini sedang meningkat naik namanya ialah Faisal Tehrani. Akibat tidak berpuas hati dengan jualan buku beliau yang diterbitkan oleh salah sebuah penerbit terkenal, beliau mengambil keputusan menerbit sendiri novel beliau berjudul Tunggu Teduh Dulu. Beliau berjaya menjualnya secara terus kepada peminat beliau melalui internet.
Terkini sesiapa yang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 mungkin ada yang singgah di booth penerbit baru KarnaDya yang ditubuhkan pada Ogos 2005. Individu di sebalik KarnaDya ialah Aina Emir, penulis novel terkenal. Pada awalnya beliau hanya menerbit sendiri novel-novel terbaru yang beliau tulis. Sekarang beliau sudah mula menerbitkan novel-novel tulisan penulis lain. Ini termasuklah novel remaja yang kini hangat di pasaran.
Selain penulis-penulis novel yang menerbit sendiri novel mereka, ada juga penulis buku bukan fiksyen yang menerbit sendiri buku. Sebagai contoh Puan Ainon Mohd. Satu ketika dahulu, beliau adalah jurulatih mengenai pemikiran lateral. Banyak buku mengenai kemahiran berfikir ditulis oleh beliau bersama Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan diterbitkan dengan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Selepas berhenti menjadi jurulatih, beliau menceburi bisnes penerbitan buku dengan menubuhkan syarikat bernama PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS).
Pada peringkat awal PTS hanya menerbitkan karya Puan Ainon Mohd. dan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Selepas beberapa ketika PTS mula menerbitkan karya-karya penulis tempatan lain. Kini PTS makin berkembang dengan menubuhkan beberapa anak syarikat yang fokus menerbitkan buku mengikut bidang tersendiri. Antaranya PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. yang menerbit buku bisnes dan pendidikan, PTS Millennia Sdn. Bhd. menerbit buku motivasi, PTS One Sdn. Bhd. menerbit buku bacaan kanak-kanak dan remaja, PTS Islamika menerbit buku agama, PTS Fortuna menerbit fiksyen, dan PTS Litera Utama Sdn. Bhd menerbit karya terjemahan best-seller antarabangsa.
Pernahkah anda mendengar nama Azizi Ali? Beliau adalah seorang konsultan dalam bidang kewangan peribadi dan sudah menerbitkan beberapa buah buku mengenai kewangan peribadi. Buku-buku itu beliau terbitkan sendiri di bawah syarikat beliau iaitu TrueWealth Sdn. Bhd. Syarikat beliau juga turut menerbitkan buku-buku hasil tulisan penulis lain.
Di kalangan pensyarah IPT pula, memang ramai yang mengambil inisiatif menerbit sendiri buku sebagai rujukan pelajar mereka. Sebenarnya, jika anda seorang pensyarah dan mengajar banyak kelas bagi satu-satu subjek setiap semester, inilah peluang buat duit. Ini kerana menerbit dan menjual buku rujukan kepada pelajar IPT memang mudah. Anda tidak perlu pening kepala memikirkan bagaimana hendak menjual buku yang diterbitkan kerana pembelinya sudah ada. Cuma perlu wajibkan sahaja setiap pelajar membeli buku yang anda terbitkan itu. Anda juga sebenarnya membantu mengelakkan pengaliran keluar wang negara kepada penerbit dari luar negara akibat membeli buku rujukan terbitan mereka.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!