Khamis

Apa objektif anda terbit sendiri buku?


Lihat situasi di bawah. Individu menerbit sendiri buku mereka kerana pelbagai sebab. Sebagai contoh:
Situasi 1
En. Shamsuddin adalah perancang kewangan bertauliah di Kuala Lumpur. Beliau sudah menulis banyak nota mengenai tip bagaimana merancang kewangan peribadi. Nota-nota ini beliau edarkan kepada setiap peserta seminar yang beliau anjurkan. Beliau bercadang menukar nota-nota itu menjadi buku dan menerbit sendiri. Buku itu akan dijual kepada peserta seminar beliau akan datang.
Situasi 2
En. Azhar adalah pensyarah di salah sebuah universiti tempatan di utara Semenanjung Malaysia. Salah satu subjek yang beliau ajar ialah subjek teras yang wajib diambil oleh setiap pelajar tahun satu. Setiap semester, ada tidak kurang daripada 600 pelajar yang mengambil subjek itu. Buat masa sekarang, pelajar-pelajar hanya bergantung pada nota ringkas yang diberikan oleh En. Azhar. Beliau bercadang menulis semula nota sedia ada dan menerbit sendiri dalam bentuk buku. Kemudian buku-buku itu akan dijual terus kepada pelajar-pelajar yang mengambil subjek yang diajar setiap semester. Dengan cara ini beliau dapat membantu pelajar supaya lebih faham subjek yang diajar dan dalam masa yang sama, beliau mencipta pendapatan sampingan.
Situasi 3
Cik Ida berbakat menulis cerpen. Beliau pernah beberapa kali menang pertandingan cerpen semasa di sekolah menengah. Sejak setahun lepas beliau mula berjinak-jinak menulis novel pula. Beliau baru sahaja menyiapkan sebuah novel cinta. Itu adalah novel pertama beliau. Beliau mengupah kawan baik beliau, Aini bagi membuat rekabentuk halaman dan kulit novelnya itu. Aini adalah artis DTP di salah sebuah syarikat penerbitan buku di Kuala Lumpur. Ida menghantar bukunya itu ke kedai percetakan digital dan membuat 10 salinan novelnya itu secara POD. Kemudian beliau menghadiahkan novelnya itu kepada kawan-kawan rapat sebagai hadiah dan meminta mereka memberi komen.
Situasi 4
Puan Salmah seorang ibu tunggal dan mempunyai 4 orang anak. Sejak suaminya meninggal akibat kemalangan jalan raya, beliaulah yang bertungkus-lumus mencari rezeki dan membesarkan anak-anak. Sekarang, beliau adalah usahawan wanita berjaya. Anak-anak beliau kesemuanya menjadi individu berjaya. Beliau berhasrat membukukan pengalaman hidupnya dengan cara menerbit sendiri dan mengedar di pasaran umum supaya pengalaman beliau itu dapat dikongsi dengan orang ramai. Sebahagian hasil jualan bukunya nanti akan didermakan kepada Persatuan Ibu Tunggal Selangor.
Keempat-empat individu dalam empat situasi di atas mempunyai sebab dan objektif tersendiri mengapa mereka mahu terbit sendiri buku mereka. Apa yang penting ialah anda perlu memilih pendekatan sesuai dengan situasi dan harapan anda.
Sebagai panduan kepada anda:
  1. Buat keputusan apakah sebab atau objektif yang anda hendak capai dengan terbit sendiri buku.
  2. Apabila anda sudah tetapkan objektif terbit sendiri, barulah anda tahu sejauh mana masa, tenaga, duit dan risiko yang perlu anda laburkan.
  3. Sumber yang dilaburkan bagi terbit sendiri buku mestilah sesuai dan realistik mengikut hasil yang anda harapkan.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!