Khamis

Mendapat Lebih Banyak Duit


Umumnya, apabila anda menerbit manuskrip dengan mana-mana penerbit, anda akan dibayar royalti. Ada penerbit yang menawarkan royalti sebanyak 10 peratus daripada harga jualan buku. Mungkin ada yang lebih tinggi sehingga mencecah 20 peratus. Secara umumnya, penerbit-penerbit buku di Malaysia menawarkan royalti antara 7 hingga 20 peratus, bergantung pada kedudukan dan prestasi syarikat penerbitan.
Bagaimana royalti dikira? Sebagai contoh anda menerbit judul A dengan penerbit B. Harga buku ialah RM20. Peratus royalti yang ditawarkan pula ialah 10 peratus daripada harga buku. Katakan buku anda dicetak sebanyak 2,000 naskhah dan semuanya habis terjual dalam tempoh setahun. Maka royalti anda seperti berikut:
Royalti buku anda
=
Peratus royalti x harga jualan x jumlah terjual
=
10% x RM20 x 2,000
=
RM4,
Ini bermakna, royalti yang bakal anda terima bagi tahun pertama buku itu diterbitkan dengan penerbit B ialah RM4,000. Atau dengan kata lain setiap buku anda yang terjual, anda mendapat RM2. Mungkin anda tertanya-tanya, ke mana perginya 90 peratus lagi wang yang dibayar oleh pembeli buku? Adakah semuanya ‘dimakan’ oleh penerbit? Kalau benarlah keadaan itu, sudah tentu ini tidak adil.
Biar saya jelaskan bagaimana sebenarnya buku beralih tangan daripada penerbit kepada pengguna. Dalam industri penerbitan, buku sampai ke tangan pengguna melalui beberapa cara. Sila lihat carta di bawah.
PENERBIT
PENGEDAR
PEMBORONG
KEDAI BUKU / PERPUSTAKAAN
PENGGUNA
Biasanya, penerbit tidak mempunyai kedai buku sendiri bagi menjual buku yang diterbitkan. Penerbit terpaksa menggunakan khidmat pengedar buku, pemborong buku dan penjual buku bagi memastikan buku dapat dijual kepada pengguna. Penerbit perlu memberi diskaun kepada pihak-pihak terlibat ini. Diskaun yang diberikan antara 30 hingga 50 peratus daripada harga jualan buku. Adakalanya lebih tinggi.
Pengedar buku, pemborong dan penjual memerlukan diskaun bagi membolehkan mereka mengedar dan menjual buku. Beza harga antara harga jualan dan harga selepas diskaun itulah sebenarnya yang dikira sebagai pendapatan pihak-pihak terlibat. Ini bagi membolehkan mereka membayar sewa, gaji, pinjaman dan mendapat untung bisnes yang dijalankan.
Apabila anda menerbit sendiri, sebenarnya anda dapat memaksimumkan pendapatan. Biasanya anda dapat memasarkan sendiri buku anda terus kepada pengguna. Ini dapat dilakukan dengan cara memasarkannya melalui internet, jualan langsung dan pelbagai cara lagi. Apabila anda memasar dan menjual terus kepada pengguna, anda tidak melalui orang tengah iaitu pengedar, pemborong dan penjual buku. Oleh itu, diskaun yang sepatutnya diberikan kepada pihak terlibat ini sudah dapat masuk poket anda.
Mari kita lihat berapa yang bakal anda perolehi jika anda terbit sendiri buku itu. Andaikan harga buku itu masih sama iaitu RM20. Anda berjaya menjual terus kepada pengguna dalam tempoh setahun sebanyak 2,000 naskhah. Jadi pendapatan kasar anda ialah:
Pendapatan kasar
=
harga buku x jumlah terjual
=
RM20 x 2,000
=
RM40,000
Ini adalah pendapatan kasar sahaja. Bagi mendapat pendapatan sebenar, anda perlulah menolak kos-kos yang terlibat dalam menerbit dan memasarkan sendiri buku anda itu. Sebagai contoh, kos membangunkan buku itu seperti kos membuat rekabentuk halaman dan kulit, membuat filem, mencetak, promosi, membina laman web, penghantaran dan lain-lain. Andaikan jumlah kos yang perlu ditolak RM10,000. Maka pendapatan bersih anda ialah RM40,000 – RM10,000 = RM30,000.
Jadi yang mana lebih banyak? Jika terbit dengan penerbit anda mendapat RM4,000 setahun. Tetapi jika anda terbit sendiri, pendapatan anda ialah RM30,000 setahun. Sudah tentu terbit sendiri lebih untung.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!