Khamis

Proses terbit sendiri buku


Sejak saya mewujudkan laman web www.terbitsendiri.com yang memperkatakan mengenai terbit sendiri buku serta kelebihannya, ramai yang emel bertanyakan mengenai caranya. Antara soalan yang sering ditanya ialah, “Apakah proses-proses untuk terbit sendiri buku?”, “Saya sudah siap menulis, apa yang perlu saya buat seterusnya?”, “Berapa agaknya kos untuk terbit sendiri buku?”, “Berapa lama masa yang diambil untuk terbit sendiri buku?” dan bermacam-macam lagi soalan.
Secara umumnya, ramai beranggapan sukar bagi menerbitkan satu-satu buku, kosnya tinggi dan mengambil masa yang panjang. Sebenarnya ia tidaklah sesukar seperti yang dijangka. Cuma anda sukar untuk belajar bagaimana proses menerbit buku kerana di luar sana tidak ada satu kursus khusus bagaimana menerbit buku. Di universiti sendiri tidak diajar subjek khusus bagaimana terbit buku. Anda juga sukar untuk mencari mana-mana institusi ataupun kolej yang menawarkan kursus penerbitan buku. Jika ada sekalipun, kosnya mungkin mencecah ribuan ringgit.
Saya sendiri semasa menyertai PTS tidak ada langsung latar belakang penerbitan. Ketika mula-mula diterima bekerja dengan PTS, saya ditugaskan sebagai jurulatih dengan anak syarikat PTS yang menganjurkan program motivasi untuk pelajar sekolah. Selepas 2 bulan, saya ditukarkan ke anak syarikat PTS yang buat bisnes menerbit buku. Pada mulanya saya sendiri menyangka susah buat kerja penerbitan ini. Tetapi sebenarnya senang. Tidak sampai 3 bulan saya sudah tahu dan dapat uruskan penerbitan buku.
Saya yakin anda juga mampu menerbitkan sendiri buku. Anda cuma perlu ikut langkah-langkah yang akan saya terangkan selepas bab ini. Saya akan turunkan ilmu bagaimana menerbit sendiri buku satu persatu. Ini berdasarkan pengalaman saya selama lebih 5 tahun berkecimpung dalam dunia penerbitan bermula sebagai editor perolehan hingga menjadi pengurus penerbitan. Ditambah dengan ilmu-ilmu yang saya perolehi melalui buku-buku mengenai penerbitan yang pernah saya baca.
Betapa untungnya anda kerana ilmu menerbit buku ini anda boleh terus dapat daripada buku ini. Saya dan rakan-rakan lain di PTS terpaksa berusaha mendapatkan ilmu penerbitan buku melalui pengalaman. Tidak pernah ambil sijil ataupun ijazah rasmi dalam dunia penerbitan.
Baiklah. Di bawah ini saya senaraikan proses-proses menerbit buku secara ringkas. Ini bagi memudahkan anda mendapat gambaran kasar mengenai terbit sendiri buku.
1. Menyunting manuskrip
2. Membuat rekabentuk halaman
3. Membuat rekabentuk kulit
4. Memohon ISBN dan CIP
5. Mencetak buku
6. Mempromosi buku
7. Menjual dan mengedar buku
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!