Biasanya, apabila penerbit bersetuju menerbit buku anda, penerbit akan memaklumkan bahawa buku anda akan terbit dalam tempoh 18 bulan dari tarikh manuskrip lengkap diterima ataupun dari tarikh perjanjian penerbitan ditandatangani. Ada penerbit memberi tempoh 12 bulan dan mungkin ada yang sampai 2 tahun.
Seorang pensyarah IPT tempatan pernah memberitahu saya, sebuah penerbit besar mengambil masa hampir 5 tahun sebelum menerbitkan manuskrip beliau. Bayangkan jika buku anda tulis itu mengenai isu semasa ataupun buku mengenai teknologi, sudah tentu apabila terbit, buku anda dianggap sebagai sudah tidak relevan.
Mengapa ini berlaku? Sebelum penerbit mengambil keputusan menerbit ataupun tidak manuskrip yang anda hantar, mereka perlu membuat kaji selidik pasaran terlebih dahulu. Mereka juga perlu menilai mutu manuskrip anda dengan cara melantik penilai luar. Selain itu, penerbit perlu mengira untung rugi jika mereka menerbit manuskrip anda. Ini sudah tentu mengambil masa.
Apabila manuskrip anda sudah diterima, penerbit perlu mengatur jadual penerbitan buku anda. Ini termasuklah melantik editor, membuat rekabentuk halaman dan kulit, membuat indeks, mencetak dan sebagainya. Biasanya, penerbit kecil yang hanya menerbitkan 20 judul setahun, mampu menyingkatkan tempoh terbit buku anda. Tetapi jika penerbit itu adalah penerbit besar yang menerbit 200 hingga 300 judul setahun, masa yang diambil lebih panjang. Ini kerana penerbit besar perlu membuat belanjawan terlebih dahulu di samping menyediakan pelan pemasaran yang baik. Selain itu, penerbit mungkin mengalami masalah tenaga kerja editor yang tidak cukup berbanding judul yang banyak bagi diterbitkan.
Apabila anda menerbit sendiri buku anda, sudah tentu anda tidak mengalami masalah seperti di atas. Segalanya terpulang kepada anda. Katakan anda hendak menerbit buku rujukan bacaan pelajar anda sebelum semester bermula, anda pasti dapat menerbitkannya kerana anda sendiri penerbitnya.
Bayangkan jika anda menyerahkan buku kepada penerbit. Belum tentu ianya dapat terbit pada masa yang anda inginkan. Masalah ini sering terjadi kepada pensyarah-pensyarah IPT yang mahu buku mereka diterbitkan oleh penerbit besar. Akibatnya mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Mungkin juga buku mereka cepat terbit tetapi tidak kena pada masanya. Sebagai contoh, buku terbit apabila semester hampir tamat.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!