Khamis

Jualan Buku Dapat Dilipat Gandakan


Apabila anda menerbit buku dengan penerbit, anda perlu tahu bahawa bukan buku anda seorang yang diterbitkan. Terdapat beratus-ratus lagi buku oleh pelbagai penulis yang diterbitkan. Oleh itu, anda tidak boleh terlalu berharap penerbit akan mempromosikan berhabis-habisan buku anda kecuali anda adalah selebriti hiburan, tokoh politik ataupun orang ternama.
Biasanya, penerbit mempunyai bajet yang terhad bagi tujuan promosi. Bagi menjimatkan kos promosi, penerbit terpaksa memilih buku yang mereka sasar dapat menjadi best-seller sahaja. Bagi buku yang penerbit sasar menjadi best-seller, mereka mempromosi buku itu lebih daripada buku-buku yang lain. Poster-poster khas dibuat bagi judul yang dipilih berserta foto wajah penulis. Pendek kata penerbit tidak akan teragak-agak berbelanja besar bagi buku yang ditulis oleh selebriti, tokoh politik ataupun orang ternama kerana mereka yakin buku-buku ini boleh menjadi best-seller.
Bagi buku biasa pula, mereka akan mempromosi buku-buku secara set. Sebagai contoh, jika ada 7 buku mengenai kesihatan oleh 7 penulis berbeza, mereka akan mempromosikan buku itu sebagai set buku kesihatan. Maka dibuat poster yang memaparkan 7 kulit buku berlainan judul oleh 7 orang penulis yang berlainan dalam satu poster. Foto wajah 7 penulis itu langsung tidak diletak pada poster. Dengan kata lain 7 penulis itu berkongsi bahan promosi. Ini dapat menjimatkan kos penerbit.
Apabila senario mempromosi penulis ataupun buku tertentu sahaja, sudah tentu ada buku yang akan tercicir daripada segi promosi. Ini menyebabkan tidak ramai pengguna tahu mengenai buku itu. Secara tidak langsung jualan buku kurang.
Sebaliknya, jika anda sendiri menerbit buku anda, tanggung-jawab promosi semestinya di bahu anda. Anda kenal siapa sasaran pembeli buku yang anda tulis dan di mana anda perlu mempromosikannya. Anda tidak perlu sibuk mempromosi buku orang lain.
Jika sebuah buku sahaja yang anda terbit, anda boleh fokus sepenuhnya mempromosi buku anda sama ada dengan memberi ceramah, bengkel, mempromosi di internet, melalui emel dan banyak lagi cara. Sudah tentu promosi habis-habisan yang anda lakukan dapat menarik minat ramai pengguna membeli buku anda. Tidak mustahil jualan buku anda berlipat kali ganda daripada jualan yang boleh dibuat oleh penerbit.
Artikel ini disalin daripada buku "Buat Duit dengan Terbit Sendiri Buku" tulisan En. Nazrul Samsudin. Berminat mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini? KLIK DI SINI!